- Kehadiran buku Masyarakat Banjar Johor ini melakar sejarahnya tersendiri khususnya daripada aspek sosio-budaya salah satu budaya masyarakat etnik Melayu negeri Johor. Memandangkan kajian mahupun tulisan berkaitan masyarakat banjar ini agak terhad, kajian yang bersifat penerokaan oleh kedua-dua pengkaji dan penulis, iaitu Dr. Noriah Mohamed dan Dr. Ghazali Basri ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang berkecenderungan.
- Harga diri masyarakat Banjar terletak pada psikik taat beragama mereka. Ini dizahirkan dalam kehidupan sehari-harian seperti yang terungkap dalam budaya, bahasa dan sastera mereka. Taat beragama inilah juga yang membentuk tasawur dan watak masyarakat Banjar yang meletakkan urusan agama prioriti kehidupan mereka. Suasana yang ada pada masyarakat Banjar pada hari ini sudah jauh berbeza, nilai yang dijadikan pegangan hidup sudah mengalami perubahan.
- Nilai budaya dan bahasa Banjar sudah kian terhakis. Namun usaha untuk mengembalikan serta mempertahankan semula keutuhannya masih terbuka. Terpulanglah kepada masyarakat Banjar sendiri untuk mengatur visi dan strategi yang bijaksana dan terancang agar identiti etnik, budaya dan bahasa mereka terus terpelihara walaupun berhadapan dengan arus budaya tempatan dan global yang lebih berpengaruh dan berbeza.